Isu air Sungai Muda tidak harus dipolitikkan, tegas Faiz Fadzil

Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil menegaskan isu air Sungai Muda tidak harus dipolitikkan dan dijadikan bahan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan membangkitkan sentimen dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya berhenti mengulangi retorik murahan bahawa Pulau Pinang mengambil air Sungai Muda secara percuma.

Faiz menjelaskan, Pulau Pinang memiliki sebahagian daripada Sungai Muda kerana laluan sungai itu melalui Pulau Pinang sebelum memasuki Selat Melaka.

Justeru katanya, Pulau Pinang berhak menggunakan air berkenaan selagi mana tidak mengganggu penggunaan Kedah.

”Sanusi dinasihatkan menghormati ‘prinsip riparian’ yang membenarkan semua pemilik tanah (dalam kes ini, Kedah dan Pulau Pinang) sepanjang sumber air menggunakan air berkenaan.

”Tindakan Sanusi mengulangi retorik ini boleh dilihat sebagai keinginannya memulakan perang ekonomi antara Pulau Pinang dan Kedah, memandangkan air adalah asas pembangunan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Faiz yang juga Setiausaha Agung AMANAH Nasional turut menasihatkan Sanusi agar mencari punca pendapatan lain untuk mengeluarkan Kedah daripada kemiskinan mutlak yang tinggi, berbanding mengharapkan duit percuma.

”Kita tidak mahu satu hari nanti, semua sungai di Malaysia difederalisasikan atau diletakkan bawah kuasa Kerajaan Persekutuan akibat perbalahan antara kerajaan-kerajaan negeri.

”Sanusi juga dinasihatkan menguruskan air Kedah dengan lebih bertanggungjawab. Pada ketika ini, non-revenue water (NRW) Kedah telah melebihi 50 peratus.

”Ia bermaksud paip dan saluran air di Kedah tidak diselenggara dengan baik oleh kerajaan Pas dan ini menyebabkan lebih 50 peratus air dirawat hilang sebelum sampai ke rumah pengguna,” ujar beliau lagi.

Sebaliknya di Pulau Pinang pula kata Faiz, NRW berkenaan jauh lebih rendah iaitu pada 26 peratus dan pelbagai usaha terus diambil bagi mengurangkan kadar tersebut.

”Berbanding di Kedah, krisis bekalan air terus berlaku di Merbok, Sungai Petani dan Kuala Kedah.

”Dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau yang sepatutnya boleh menyelesaikan masalah air, masih lewat disiapkan,” tempelak Faiz.

Menjelang PRK Sungai Bakap, Faiz berharap pengundi memahami kegagalan dan ketidakupayaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas dalam memberikan pentadbiran yang baik.

Oleh itu beliau berkata, AMANAH menyeru pengundi untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan yang boleh membawa kemajuan ke Sungai Bakap dan juga Pulau Pinang.

”Ini masanya untuk membetulkan kesilapan lalu.

”Kerajaan Pulau Pinang sedang mengambil langkah konkrit mengatasi apa jua masalah yang berlaku di Sungai Bakap termasuk isu bekalan air,” katanya lagi.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilapor berkata, Kerajaan Kedah sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak sekian lama khususnya di kawasan Sungai Bakap.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai lebihan air bersih di LRA Lubuk Buntar dan bersedia untuk disalurkan ke negeri ini sekiranya Kerajaan Pulau Pinang ingin membeli.

Bagaimanapun, tawaran Muhammad Sanusi itu ditolak Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dengan mengingatkan kembali Muhammad Sanusi agar terlebih dahulu menjaga negerinya yang masih banyak kawasan berdepan masalah bekalan air.

BACA JUGA Selepas KPKM umum berita baik untuk pesawah, KADA pula keluar kenyataan

Â