MP DAP ketuai TalentCorp, pemimpin PKR jadi timbalan
Ahli Parlimen DAP Wong Shu Qi dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), berkuat kuasa hari ini.
Wong, 41, yang telah menjadi Ahli Parlimen Kluang selama dua penggal, juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.
Bekas ADUN Senai pada 2013 itu juga menganggotai lembaga badan pemikir Research for Social Advancement (Refsa).
Menerusi kenyataan, TalentCorp turut mengumumkan Khuzzan Abu Bakar, 56, yang pernah menjadi Exco Johor dan Adun Semerah dari PKR, sebagai timbalan Wong.
Ahli lembaga pengarah baharu TalentCorp termasuk bekas Ahli Parlimen Ketereh Alwi Che Ahmad daripada Umno, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Khairul Dzaimee Daud dan bekas presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, beliau yakin pelantikan baharu ini akan dapat membawa idea segar dan inovatif untuk membangunkan ekosistem bakat negara ini.
“Pelantikan ini mencerminkan kepentingan berterusan TalentCorp sebagai badan pemikir strategik Kementerian Sumber Manusia, yang berdedikasi menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan yang diperlukan Malaysia untuk berkembang maju dalam landskap pesat yang dibentuk oleh peningkatan globalisasi dan kehendak masa depan pekerjaan,” kata Sim.
Untuk rekod, TalentCorp adalah agensi kebangsaan di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang bertanggungjawab menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju.
Agensi itu telah menarik penglibatan puluhan ribu syarikat merentasi pelbagai sektor bagi pembangunan modal insan termasuk memastikan para graduan dan modal insan yang sedang meningkat naik dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri.
BACA JUGA Isu air Sungai Muda tidak harus dipolitikkan, tegas Faiz Fadzil