Padah minta rasuah RM80,000 dari syarikat balak, penjawat awam ditahan

Seorang individu termasuk seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak selepas disyaki meminta rasuah berjumlah RM80,000 daripada sebuah syarikat pembalakan di negeri tersebut.

Kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30 tahun hingga 40 tahun ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, suapan yang diterima sebagai dorongan untuk mempercepat proses pengeluaran lesen pembalakan hutan.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pagi tadi (semalam) dan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan selama lima hari bermula hari ini (semalam).

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki terlibat memperoleh suapan daripada sebuah syarikat pembalakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran surat pembaharuan lesen pembalakan hutan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Tuan Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 28 (1) (c) Akta SPRM 2009. 

BACA JUGA Terengganu FC batal penajaan XFOX selepas teruk dikecam, bakal pulangkan RM1.5 juta