Terengganu FC batal penajaan XFOX selepas teruk dikecam, bakal pulangkan RM1.5 juta

Kelab bola sepak Terengganu FC akhirnya mengumumkan pembubaran perjanjian tajaan bernilai RM1.5 juta dari sebuah syarikat skim pelaburan, XFOX Market Holdings Sdn Bhd.

Susulan penamatan perjanjian itu, TFC akan memulangkan kembali bayaran penajaan kepada syarikat terbabit.

Dilaporkan, tajaan bagi kejohanan Piala Shoppe AFF yang dimeterai pada 9 Jun itu ditamatkan secara bersama tanpa sebarang tuntutan antara kedua-dua pihak. 

Keputusan pembatalan perjanjian itu dibuat susulan tohmahan kepada kelab terbabit kerana menerima tajaan dari XFOX yang dipercayai berada dalam senarai pemantauan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran beberapa isu berkaitan pelaburan.

Harapan Daily pada kelmarin turut melaporkan perkara itu, mendapati dua syarikat berkait dengan XFOX tersenarai dalam amaran BNM kerana tidak diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan yang ditadbir bank pusat itu.

Dua syarikat tersebut adalah XFOX Market Trust dan XFOX Market Sdn Bhd. Kedua-duanya tersenarai dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan sejak 14 Jun 2023. Ia masih tersenarai sehingga kini.

Menurut kenyataan kelab TFC, keputusan menerima penajaan XFOX sebenarnya telah melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak TFC seperti penaja-penaja lain. 

Walaupun begitu, setelah tular perjanjian penajaan tersebut, kelab itu mendakwa munculnya suasana kurang sihat di media sosial dengan pelbagai tohmahan, sekali gus menjejaskan keharmonian kelab.

Menjelaskan lanjut, kelab TFC berkata, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan XFOX Market Holdings setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bola Sepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan TFC sebagai sebuah kelab bola sepak. 

“Walau bagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah TFC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini,” tambah kenyataan itu.

BACA JUGA Bas sekolah masih dapat subsidi, menteri tegaskan kenaikan tidak patut berlaku

Â