Pastikan ringgit kekal stabil, ini pelbagai langkah dilakukan BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti pelbagai langkah dan inisiatif lain yang boleh dilakukan untuk memastikan ringgit kekal stabil dan disokong.

Ia termasuk membabitkan kerjasama syarikat korporat bagi membawa pulang pendapatan mereka ke dalam pasaran.

Menurut Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, bank pusat telah berbincang dengan beberapa syarikat korporat yang mempunyai baki mata wang asing bahawa mereka digalakkan membawa pulang dan menukar mata wang asing mereka.

“Kita akan memberi kelulusan kepada mereka untuk melabur di luar negara apabila sampai masanya.

“Jika mereka perlu melabur di luar negara dan telah menyusun pelaburan, maka mereka boleh datang kepada kita untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita telah berjanji dengan mereka bahawa BNM akan memudahkannya,” katanya semasa sesi panel ‘Ringgit, Bon dan Pasaran Ekuiti’ di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia 2024 di ibu negara, hari ini.

Adnan Zaylani berkata, BNM bekerjasama rapat dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat asing sejak Februari untuk membawa pulang pendapatan asing dan usaha itu telah banyak memberi manfaat kepada Malaysia.

“Jika anda meneliti prestasi ringgit ketika BNM memulakan usaha itu dan hari ini, mata wang tempatan telah mencapai prestasi baik dan meningkat berbanding dolar AS (Amerika Syarikat) sebanyak hampir 1.2 peratus sekarang,” katanya, dipetik Bernama.

Jelasnya, walaupun ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang asing, unit domestik juga rendah berbanding beberapa mata wang asing lain sejak dua tahun lalu apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS mula menaikkan kadar faedah.

“Oleh itu, perkara itu perlu dimasukkan ke dalam konteks keseluruhan yang memacu prestasi.

“Faktor lain ialah isu geopolitik semasa yang terus menimbulkan ketidaktentuan serta prospek pertumbuhan China,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Gempar polis tangkap datuk, nenek Zayn Rayyan