Peniaga Pasar Payang terkejut sewa naik mendadak, dulu RM110 sekarang cecah RM400

Sekumpulan peniaga Pasar Payang terkejut apabila sewa ruang niaga di bangunan baharu Pasar Payang 1 meningkat mendadak antara 300 peratus hingga 485 peratus berbanding harga lama.

Difahamkan, sebelum ini harga sewa lama yang perlu dibayar oleh peniaga antara RM110 hingga RM380 dan harga baharu meningkat antara RM400 hingga RM1,600.

Wan Saidah Abdul Ghani, 37, berkata, selain kadar sewa, bayaran deposit yang dikenakan juga disifatkan sebagai terlalu tinggi dan tidak mampu dilunaskan secara sekali gus bagi membolehkan mereka mendapatkan kunci untuk berpindah ke premis baharu.

Menurutnya, kenaikan itu wajar dipertimbangkan memandangkan pendapatan kebanyakan peniaga di situ bermusim.

Para peniaga di pasar itu juga menunjukkan surat tawaran yang diterima dengan kadar harga sewa baharu.

“Jualan sekarang tidak menentu, jadi susah sikit kami nak jelaskan semua bayaran itu. 

“Macam saya berniaga periuk belanga ni perlu bayar deposit lebih RM3,000 dan kenaikan sewa pula dalam 300 peratus daripada harga lama RM110 kepada RM400 harga baharu.

“Kalau boleh kita nak mereka kaji semula kadar sewa dan deposit terutama melibatkan harga bayaran bagi papan tanda sebanyak RM1,600 yang dilihat begitu membebankan peniaga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Justeru itu, kira-kira 400 peniaga Pasar Payang merayu agar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa yang naik mendadak.

Seorang lagi peniaga, Saripah Ahmad, 41, berkata, mereka akan mula berpindah ke premis perniagaan baharu itu bermula 1 Julai depan dan perlu melunaskan bayaran deposit termasuk sewa lot kedai berjumlah RM3,530.

“Bagi saya kenaikan sewa ini terlalu mendadak, kalau naik kepada RM200 hingga RM250 kita boleh terima lagi sebab pendapatan kami bermusim

“Macam saya jual alatan dapur, hanya waktu musim cuti sekolah dan perayaan sahaja ramai pelanggan dan kita tak boleh nak jangka macam mana keadaan di tempat baharu nanti,” katanya yang memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM2,000.

BACA JUGA Hati-hati KPDN akan siasat semua aduan kenaikan harga di media sosial

Â