PRK Sungai Bakap: Ini peringatan PM kepada jemaah menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan jemaah menteri agar tidak melanggar peraturan pilihan raya dalam tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan diadakan nanti.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata peringatan tersebut diberikan Anwar ketika mesyuarat jemaah menteri hari ini.

“Kita tidak membincangkan secara khusus perkara ini, tetapi Perdana Menteri ada memberi peringatan kepada semua Ahli Jemaah Menteri.

“Perdana Menteri memberi peringatan supaya memastikan sewaktu tempoh PRK ini, tidak berlaku apa-apa pelanggaran undang-undang atau peraturan pilihan raya,” katanya memetik BH Online.

Untuk rekod, PRK Sungai Bakap diadakan susulan penyandangnya, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu kerana mengalami keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

BACA JUGASikap penduduk punca 50 tahun masalah sampah di Sungai Merbok tak berkesudahan