Sikap penduduk punca 50 tahun masalah sampah di Sungai Merbok tak berkesudahan

Sebanyak 15 kawasan longgokan sampah di sepanjang Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah dikenal pasti sebagai punca berlaku pencemaran hutan paya bakau.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, keadaan itu berpunca akibat sikap segelintir masyarakat yang tidak peka dengan kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar.

Menurutnya, perkara itu sudah berlarutan sejak 50 tahun lalu hingga menjejaskan ekosistem kawasan berkenaan.

“Tidak berdisiplin dan kurang kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar menyebabkan tabiat membuang sampah ini terus berlanjutan sehingga ke hari ini.

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan kerana bukan saja menjejaskan pertumbuhan pokok bakau, malah akan merebak dan mencemarkan Sungai Merbok,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan pembuangan sampah berkenaan bersama agensi berkaitan, semalam.

Abdul Gafar berkata, terdapat puluhan spesis bakau di kawasan terbabit yang menjadi tarikan pelancongan.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya merancang untuk mengadakan program gotong-royong dan kempen kesedaran kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Selagi mana kita boleh berusaha untuk menguruskan sampah dengan sebaiknya, kita akan buat, saya harap masyarakat sedar serta berusaha untuk bersama-sama menjaga kebersihan.

“Tahun 2025 adalah Tahun Melawat Kedah dan kawasan hutan bakau ini antara lokasi tumpuan pelancong,” katanya.

BACA JUGA Selepas KPKM umum berita baik untuk pesawah, KADA pula keluar kenyataan