Apa akan jadi selepas penggabungan MAVCOM, CAAM?
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat.
Beliau berkata, langkah berkenaan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Disember 2019, bahawa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubarkan dan semua fungsinya dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
”Badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirombak dan diletakkan di bawah satu entiti untuk memangkinkan perkembangan industri penerbangan awam selari dengan hala tuju dasar kerajaan supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
”Pembaharuan ini juga bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.
”Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapatkan kelulusan berasingan daripada dua agensi, sebaliknya satu entiti kerajaan akan memproses permohonan kelulusan teknikal dan pengeluaran lesen kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri penerbangan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Anthony berkata, keputusan itu dibuat setelah kerajaan bersetuju untuk membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) pada sidang Parlimen akan datang.
Menurut Anthony lagi, mekanisme seperti itu juga diguna pakai di beberapa negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.
Beliau berkata, MAVCOM ditubuhkan untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi fungsi dan peraturan dalam perkara yang berkaitan.
”CAAM pula bertanggungjawab dalam mengawal selia teknikal penerbangan awam negara selaras dengan prosedur teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).
”Pembaharuan ini akan dapat mengoptimakan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada termasuk mewujudkan kumpulan pakar ekonomi dan teknikal di bawah satu entiti sekali gus memastikan obligasi terhadap hal penerbangan awam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilaksanakan dengan sempurna berdasarkan piawaian dan amalan yang disarankan oleh ICAO,” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Akhirnya ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak
Â