Calon Perpaduan tekankan akhlak laksana pekerjaan, kenali siapa Dr Joohari Ariffin

Calon Perpaduan bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini, lebih menekankan akhlak dalam melaksanakan pekerjaan.

Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara bertekad menjadi seorang yang baik tanpa merendahkan pihak lain sepanjang berkempen kelak.

Sebagai seorang guru, Dr Joohari, 60, bercita-cita untuk memastikan semua anak didiknya mempunyai akhlak dan pemikiran yang baik.

“Jadi, itu antara saya tekankan supaya kita jadi orang baik melaksanakan perkara yang baik dan saya akan pastikan saya akan cuba menjadi seorang calon yang baik.

“Saya lebih tekankan akhlak dalam melaksanakan pekerjaan kita.

“Oleh itu, sebarang usaha untuk merendahkan pihak lain saya akan cuba jaga dan saya harap pihak sana (pihak lawan) sama juga (menjaga adab).

“Amanah yang diberi ini (menjadi calon) saya akan pikul dan akan bekerja lebih untuk rakyat (sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diumumkan menjadi Calon Perpaduan bagi bertanding pada PRK Sungai Bakap.

Pemilihan Dr Joohari itu diumumkan Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Sungai Bakap di Simpang Ampat, malam tadi.

Anak kelahiran Permatang Pasir di Permatang Pauh itu kemudian membesar di kampung neneknya di Sungai Bakap serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

Beliau yang kini menetap di Taman Ilmu, Sungai Bakap memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

BACA JUGA Dah habis direhatkan, Ustaz Don kembali kendali Salam Baitullah

Â