Ibu bapa Zayn Rayyan hadapi pertuduhan di mahkamah hari ini

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin Mohd. Zaim akan menghadapi pertuduhan yang akan dijalankan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Peguam yang mewakili bapa kanak-kanak autisme itu, Fahmi Abd Moin mengesahkan perkara tersebut.

“Ya, ada tuduhan ke atas kedua-dua anak guam,” katanya, dipetik BH.

Namun, Fahmi berkata, beliau belum dapat mengesahkan intipati pertuduhan yang bakal dihadapi oleh pasangan suami isteri itu.

Kes membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah kelancaran pertuturan dan kawalan emosi itu menarik perhatian ramai apabila menyaksikan datuk dan neneknya turut ditahan selain ibu bapa Zayn Rayyan.

Kedua-dua ibu bapa Zayn yang berusia 28 tahun berkenaan telah menjalani tempoh tahanan reman selama 13 hari yang berakhir hari ini.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat anak istimewa itu ditemui terbaring oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Sebelum itu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kawasan kediamannya.

BACA JUGA Calon Perpaduan tekankan akhlak laksana pekerjaan, kenali siapa Dr Joohari Ariffin

Â