Ini manfaat diraih Indonesia selepas 10 tahun lebih awal hapus subsidi pukal

Oleh AHMAD MURSI

Selepas 29 hari Jokowi mengangkat sumpah pada Oktober 2014, beliau menghapuskan subsidi pukal petrol, 44 hari kemudian diikuti diesel.

Waktu itu, 15% (RM70 bilion) dari belanjawan kerajaan digunakan untuk subsidi ini.

Selepas itu, subsidi bersasar diberi kepada mereka yang memerlukan untuk mengelakkan pembaziran dana awam dan mengurangkan beban kerajaan.

Rakyat marah tetapi kerajaan menjelaskan tindakan ini perlu untuk membebaskan kewangan kerajaan dan membangunkan infrastruktur serta memperhebat program bantuan sosial.

Langkah ini mewujudkan kestabilan fiskal kerajaan dan mencipta iklim pelaburan yang lebih baik.

Ini juga meningkatkan daya saing negara di mata pelabur dan dianggap tempat selamat untuk melabur.

Akses lebih baik

Hasil penjimatan dana kerajaan, banyak program sosial bantuan tunai ditingkatkan dan diperluas.

Wanita, orang miskin mendapat akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan keperluan hidup.

Lebihan dana juga membolehkan kerajaan membina lebuhraya 1,000 km Trans-Jawa, pelabuhan dan pengangkutan awam, LRT dan MRT Jakarta, seterusnya meningkatkan ketersambungan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Langkah berani ini memang menyebabkan inflasi di tahun-tahun awal, tetapi telah menyelamatkan ekonomi Indonesia untuk jangka masa panjang.

Ekonomi Indonesia terus berkembang purata 5% dari 2015 hingga 2020 selepas rasionalisasi subsidi minyak.

Pengaruh Indonesia semakin besar dalam forum ekonomi penting seperti G20, ASEAN dan lain-lain.

PricewaterhouseCoopers (PwC) iaitu salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan juruaudit utama di dunia menjangkakan Indonesia bakal menjadi ekonomi kelima terbesar dunia menjelang 2050.

BACA JUGA Akhirnya ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak