Penyasaran subsidi diesel: Ini sebab mengapa Hasbie yakin kerajaan di landasan betul
Kenyataan rasmi Pas yang menyokong rasionalisasi subsidi diesel adalah bukti bahawa kerajaan berada di landasan betul.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Mohd Hasbie Muda menyifatkan, apa yang dilakukan sekarang adalah pendirian kerajaan sejak era Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan ia bersesuaian dengan konteks hari ini.
“Apabila kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang bersetuju dan sekata dalam sesuatu dasar, ia menunjukkan bahawa dasar tersebut adalah bertepatan dengan keperluan dan kepentingan negara.
“Kesepakatan pembangkang dalam dasar rasionalisasi subsidi diesel juga adalah bukti bahawa kerajaan mengambil langkah berani dan tepat demi memastikan keadilan ekonomi untuk rakyat Malaysia terbanyak,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan domestik, Mohd Hasbie yang juga Ahli Dewan Negara menyifatkan adalah penting untuk memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan kerajaan, digunakan sebaik-baiknya demi manfaat rakyat.
Katanya, rasionalisasi subsidi diesel adalah salah satu cara untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pada masa yang sama, ujarnya, mengelakkan pembaziran serta penyalahgunaan sumber negara.
“Dengan rasionalisasi ini, kerajaan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM4 bilion setahun, yang boleh disalurkan kepada program pembangunan lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa sebarang langkah yang diambil kerajaan haruslah telus dan bertanggungjawab, serta sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Hanya dengan cara ini, kita dapat membina negara yang adil dan makmur untuk semua,” ujar beliau yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu.
Pada 9 Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam.
Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Pas kemudiannya mengeluarkan kenyataan menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan kerajaan memulakan langkah penyasaran subsidi diesel.
“Pas mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah ini, namun pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat,” ujar beliau.
Selain itu, katanya wujud kebimbangan berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah.
Menurutnya, dalam konteks ini, Pas berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, kumpulan berpendapatan rendah dan lain-lain akan diliputi sepenuhnya bawah langkah pengecualian yang disediakan melalui proses pendaftaran yang mudah diakses.
BACA JUGA Ini manfaat diraih Indonesia selepas 10 tahun lebih awal hapus subsidi pukal