25 peratus majikan di Kelantan gagal jaga kebajikan pekerja, Perkeso bagi amaran terakhir

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesan sebanyak 25 peratus majikan di Kelantan gagal menjaga kebajikan pekerja mereka dengan tidak mencarum Perkeso.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, kajian pihaknya mendapati, majikan-majikan itu tidak memberi fokus untuk mendaftar dan mencarum termasuk warga asing yang diambil sebagai pekerja.

Menurutnya, majikan yang masih berlengah mendaftar dan mencarum skim Perkeso pekerjanya akan diberi amaran sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Bermula bulan Julai ini, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sama ada dikenakan kompaun atau pendakwaan atas kesalahan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Bagaimanapun menurutnya, majoriti besar iaitu 75 peratus majikan di Kelantan sudah melunaskan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan pekerja mereka.

Mengulas lanjut, Nora memberitahu, pihaknya membuka peluang kepada majikan untuk menunaikan tanggungjawab dengan mencarum Perkeso pekerja dalam tempoh masa yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.

BACA JUGA Subsidi bersasar perlu dipertahan, sudah lama tersalur kepada golongan mewah