Anwar, Mahiaddin berdamai, setuju henti pertikaian peribadi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hari ini mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi antara mereka, sekaligus menghentikan prosiding kes di mahkamah.
Dalam satu kenyataan bersama, keputusan itu disepakati antara Mahiaddin dan Anwar setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah kepada umum serta mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi dan keadaan semasa negara yang perlu diutamakan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin bersetuju dan mengambil keputusan untuk memberhentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Anwar dan Mahiaddin merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat,” kata kenyataan bersama dimuat naik di Facebook Ahli Parlimen Pagoh itu.
Kenyataan itu juga menyebut, mereka berdua berharap keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak.
Dua pemimpin itu turut bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait perkara ini.
“Anwar dan Mahiaddin berharap agar perkara ini tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara,” ujar kenyataan itu.
Pertikaian peribadi antara mereka dipercayai berkait dakwaan dibuat oleh Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bahawa Anwar menerima bayaran RM15 juta ketika menyandang jawatan Penasihat Ekonomi Selangor.
Selain itu ia juga membabitkan saman fitnah dikemukakan Mahiaddin terhadap Anwar berhubung isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.
Media sebelum ini melaporkan ucapan Anwar yang mendakwa Mahiaddin hanya mengumumkan mengenai pelupusan hutang peneroka namun tidak menyelesaikan perkara berkenaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Anwar berkata, selaku Menteri Kewangan, beliau baru sahaja menandatangani dokumen kelulusan terbabit pada akhir Jun lalu.
Atas sebab itu saman dikemukakan oleh Mahiaddin.
BACA JUGA Pengendali bas sekolah jangan cuba naik tambang, ini risiko menanti kalau ingkar