Isu penyasaran diesel dijangka tidak jejas peluang menang calon PH

Keputusan kerajaan melaksanakan rasionalisasi bahan api diesel dijangka tidak akan menjejaskan peluang calon Kerajaan Perpaduan untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap bulan depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penjelasan berhubung penyasaran subsidi diesel perlu menjadi fokus utama jentera Kerajaan Perpaduan ketika ini supaya dapat meleraikan salah faham dan persepsi negatif orang ramai terhadap inisiatif tesebut. 

Beliau juga optimis, calon di pihak kerajaan akan menang walau banyak isu sedang dibangkitkan di luar.

“Kita boleh memenangi walaupun ada banyak isu di luar sana yang bermacam-macam. 

“Saya harap jentera penerangan membuat penjelasan yang tuntas dan padu mengenai penyelasaran subsidi diesel.

“Itu antara isu tumpuan utama di DUN Sungai Bakap. Jadi jika diberikan penerangan dengan teliti saya yakin mereka boleh menerima penjelasan mengenai penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam sidang media lewat petang semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad yakin jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) akan dapat bekerjasama untuk memenangkan calon kerajaan Perpaduan kerana hubungan dua gabungan politik itu kini sudah semakin serasi selepas setahun setengah bersama.

Beliau berharap jentera UMNO akan digerakkan selepas dua kali mesyuarat berlangsung dan mereka akan diketuai Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

BACA JUGA ‘Bagi galak dulu…’, Sanusi kata akan lapor Rafizi kepada SPRM bila tiba masanya