Ustaz Don bikin kecoh guna hadis sembarangan, pengarah terpaksa rehatkan terus

Penampilan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, semalam, mencetuskan kontroversi sehingga tidak mampu menyelamatkan lagi peluangnya untuk bersiaran.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman meluahkan rasa kecewa terhadap pendakwah popular itu yang sepertinya tidak belajar dari kesilapan.

Dia juga menyebut tentang ‘play victim’.

“Bila bagi peluang, ‘consult authority’ dan ahli agama, ‘remind’ apa yang boleh cakap dan apa yang tak boleh, kenalah pandai ‘anticipate response from viewers’.

“Wisdom kena ada, kawalan diri kena mantap. Don’t play victim. So sorry have to rest you. Maaf semua, hang in there team,” ciap Suhaimi di platform X.

Sementara itu memetik laporan Berita Harian, Suhaimi berkata, dia sendiri telah menghubungi Ustaz Don untuk memaklumkan penamatan sebagai pengacara program Salam Baitullah.

Ujarnya, dia sebelum ini telah pun berpesan kepada Ustaz Don agar elak dari menggunakan hadis-hadis yang boleh menimbulkan kontroversi, namun nampaknya tidak dituruti penceramah itu.

Malah katanya, dia sudah mengingatkan Ustaz Don agar menyerahkan ulasan menganalisa hadis kepada ahli panel diundang, tetapi nampaknya pendakwah itu tetap ingkar dengan peringatan.

“Memandangkan Ustaz Don berdegil, jadi itu sahaja tindakan yang boleh diambil. Saya tak suka orang lain berbalah disebabkan program Salam Baitullah.

“Dalam bidang penyiaran pengacara kena ada disiplin dan tak boleh cakap sesuka hati.

“Ketika saya hubungi Ustaz Don, dia akur mungkin sudah tahu saya marah. Saya akui Ustaz Don ada kekuatan, tapi disiplin kena jaga,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Don sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan hadis lemah dalam program Salam Baitullah.

“Memandang kepada wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 kuda ke jalan Allah,” katanya.

BACA JUGA Anwar, Mahiaddin berdamai, setuju henti pertikaian peribadi