Anwar tolak cadangan mula subsidi bersasar selepas PRK Sungai Bakap 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ada pihak menasihatkannya agar menangguhkan penyelarasan subsidi diesel memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan berlangsung bulan depan.

Namun beliau berpendirian bahawa ia tidak seharusnya dilengahkan lagi.

Menurutnya tidak patut kerajaan memberi mesej salah tentang penyasaran subsidi diesel kerana keputusan kerajaan itu bukan untuk mendera rakyat.

“Ada orang cadangkan ‘Anwar, tangguh lepas (PRK) Sungai Bakap’.

“Saya kata tidak, kita harus hadapi. Buat apa beri mesej yang salah (berkenaan subsidi)?.

“Kita tidak dera rakyat miskin. Setiap sen tambahan kita pulang balik,” katanya.

Mengambil contoh penyelarasan kadar tarif elektrik, beliau menegaskan bahawa ia tidak memberi kesan kepada 85 peratus rakyat Malaysia kerana mereka masih lagi menikmati subsidi itu.

Sebaliknya bagi golongan terlalu kaya, mereka perlu menanggung kos sebenar elektrik tanpa subsidi dari kerajaan.

Turut menggunakan contoh pengapungan harga ayam, Anwar berkata ia telah terbukti tidak membebankan rakyat kebanyakan kerana sehingga kini selepas kerajaan menamatkan subsidi ayam, harga bekalan mentah itu tetap rendah seperti sebelumnya.

“Pengapungan harga ayam. Setiap tahun, (terpaksa keluarkan) RM1.2 bilion nak kawal harga ayam. Kemudian bincang dengan kementerian pertanian, panggil kartel-kartel ayam.

“(Kata pada mereka) harga ini patut turun. Pasal apa harga di Thailand terlalu rendah tapi kita tinggi. Maka saya kata, saya nak tarik subaidi ayam ini. Kerana subsidi ayam tak sampai kepada rakyat, sampai kepada kartel syarikat besar.

“Saudara, selepas kita tamatkan subsidi ayam (yang menelan belanja) RM1.2 bilion setahun sebelum ini, harga tak naik pun,” katanya lagi.

Ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan, pentadbiran lalu sememangnya ingin melaksanakan dasar ini tetapi tidak bersedia melakukannya.

“Mereka, termasuk saya (PM) kesepuluh, setuju dengan (penyelarasan) subsidi. Tak ada yang tak setuju, tapi mereka tak sedia melakukannya kerana tahu masalah yang akan dihadapi,” katanya.

BACA JUGA Sanusi dikecam lepas minta rakyat tak teruskan budaya berharap kerajaan