Sanusi dikecam lepas minta rakyat tak teruskan budaya berharap kerajaan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditempelak selepas mengeluarkan ucapan yang didakwa menghina rakyat yang meminta bantuan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan segeri seharusnya melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti memohon bantuan.

“Bagi saya, sebagai seorang Menteri Besar dipilih rakyat Kedah, beliau seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu.

“… dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan lagi menjadikan meminta bantuan daripada kerajaan Pas sebagai satu budaya hidup.

“Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ianya amat mengecewakan rakyat apabila seorang Menteri Besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan Pas”, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Sanusi yang baru-baru ini menegur rakyat negerinya supaya tidak meneruskan budaya berharap dengan bantuan kerajaan.

Sanusi berkata, ada rakyat di negeri itu yang sudah banyak dibantu, masih lagi mengharapkan bantuan kerajaan untuk isu-isu seperti atap bocor dan dinding pecah.

“Atap suruh kerajaan mai boh. Saya kata, eh pening juga fikir.. (dapat) rumah percuma, tanah je lah kena bayar premium sikit, rumah tak kena bayar. Tapi (apabila) dinding pecah, pintu pecah, atap bocor semua suruh kerajaan tukar.

“Dia duduk situ. Tadah periuk, tadah besen, tadah macam-macam. Bergenang air dalam rumah. Dia kata tunggu wakil rakyat mai datang buat atap baru.

“Saya rasa tak bolehlah budaya ini dibiarkan berlarutan,” katanya.

Susulan itu, Mahdzir berkata, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan Pas untuk menerajui negeri itu sememangnya mengharapkan kepimpinan kerajaan memainkan peranan berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.

“Mengapa pimpinan PAS ketika berkempen dalam pilihan raya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada wakil rakyat kalau mereka menang?

“Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihanraya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada wakil rakyat Pas?

“Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat?” soal beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

Mahdzir berkata, dalam isu tersebut, Kerajaan negeri perlu merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di Kedah.

BACA JUGA PM Anwar akan umum berita baik esok, Fahmi bagi satu ‘hint’