KPDN bagi tempoh empat hari untuk 10 syarikat beri alasan kenaikan harga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tempoh empat hari untuk kesemua 10 buah syarikat memberi tunjuk sebag kenaikan harga perkhidmatan mereka.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata notis telah dikeluarkan oleh KPDN di negeri masing-masing.

Beliau berkata tempoh akhir untuk syarikat terbabit memberikan maklum balas berbeza mengikut hari mereka menerima notis.

“Siasatan masih berjalan dan untuk membuktikan pengambilan untung yang tidak wajar, data yang banyak sehingga dua tahun diperlukan.

“Syarikat perlu menyediakan maklumat kepada kementerian mengenai kos pengeluaran, termasuk bahan mentah, operasi, kos buruh, tenaga dan kos pengangkutan.

“Data untuk seluruh rantaian bekalan mesti disediakan kepada kementerian,” katanya kepada New Straits Times hari ini.

Fuziah berkata tindakan undang-undang akan diambil jika KPDN mengenal pasti elemen pengambilan untung yang tidak wajar dalam siasatan.

Semalam kementerian itu mengeluarkan notis bertulis memanggil 10 syarikat yang menaikkan harga barang dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan. 

Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

BACA JUGA Anwar tolak cadangan mula subsidi bersasar selepas PRK Sungai BakapĀ