Tak usah politikkan program penerangan kewarganegaraan – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak bersetuju jika program taklimat dan penerangan berkaitan kewarganegaraan yang dianjurkan mana-mana pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), dianggap sebagai cubaan memberi warganegara secara borong.

Beliau berkata, banyak pusat khidmat DUN sama ada diwakili wakil rakyat kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarganegaraan antaranya melibatkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara atau ibu bapa berkahwin di luar negara.

“Janganlah ini dikalutkan sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi warganegara secara borong,” katanya seperti dilapor Bernama semalam.

Saifuddin juga menggesa agar diberi ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas mereka, sambil menyebut permasalahan kewarganegaraan yang diterima di Kelantan.

“Pagi ini, saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima banyak aduan mengenai masalah kewarganegaraan.

“Ini kerana kawasannya berdekatan dengan Thailand, banyak kes kahwin dengan warga tempatan. Jadi apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih,” katanya lagi.

BACA JUGA Ustaz Don bikin kecoh guna hadis sembarangan, pengarah terpaksa rehatkan terus

Â