Apa saja tak dibuat penjenayah dunia ini, haiwan korban pula disekat masuk

Penjenayah nombor satu dunia, Israel menyekat kemasukan haiwan korban dengan menutup semua lintasan Semenanjung Gaza, termasuk lintasan sempadan Rafah dan lintasan Kerem Shalom.

Menurut kenyataan pejabat media Gaza semalam, sekatan terbaharu zionis Israel itu mengakibatkan ratusan ribu keluarga di Semenanjung Gaza tidak berpeluang melakukan ibadah korban bagi Aidiladha tahun ini.

Pejabat itu memaklumkan “Pasukan pendudukan melakukan jenayah baharu” dengan menghalang kemasukan haiwan korban menerusi penutupan.

Sekatan tidak berperikemanusiaan itu merupakan “satu pelanggaran hak asasi manusia yang jelas dan mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan dan Islam”, menurut pejabat media Gaza lagi.

Sehubungan itu, pejabat media berkenaan menyeru tanggungjawab moral dan undang-undang memerlukan masyarakat antarabangsa dengan melakukan campur tangan secara serius bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai dan menghentikan pencabulan hak dan hak asasi umat Islam secara terang-terangan.

Larangan untuk umat Islam di Gaza mengerjakan ibadah korban itu berlaku ketika angka rasmi korban sudah mencecah 37,300 orang manakala hampir 85,200 lagi cedera sejak pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.

Sejak genosid meletus Oktober tahun lalu, Israel mengenakan sekatan yang teruk terhadap penghantaran bantuan makanan dan perubatan ke Gaza.

Akibatnya, penduduk Palestin mengalami kekurangan makanan dan air manakala ribuan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang kritikal.

Sebahagian besar daripada kanak-kanak mangsa kekejaman zionis di wilayah terkepung tersebut pada masa ini berbadan sangat kurus sehingga jelas menampakkan tulang rusuk.

Bukan sahaja tentera rejim zionis mengganas, keadaan diburukkan lagi dengan perangai jahat penduduk haram Israel melalui kumpulan pelampau Israel Tzav 9 yang menghalang konvoi bantuan masuk dan merompak serta membakar trak bantuan ke Gaza.

Kumpulan aktivis sayap kanan zionis itu berbuat demikian selagi tebusan Israel ditahan di wilayah Palestin tidak dibebaskan.

Sementara itu, Shehab Agency melaporkan tentera rejim zionis mengetatkan kemasukan orang ramai di pintu-pintu Masjid Al-Aqsa serta menghalang kemasukan jemaah untuk menunaikan solat Subuh dan solat sunat Hari Raya Aidiladha.

BACA JUGA Anwar, Azizah lebih sejam ziarah keluarga Fadhlina