Bimbang ramai peniaga tidak pamer harga, CAP mohon KPDN lakukan perkara ini
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati tahap ketidakpatuhan peniaga terhadap keperluan meletakkan tanda harga masih meluas di negeri berkenaan selepas tinjauan dilakukan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ketidakpatuhan itu termasuk dalam kalangan penjual di gerai makanan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit.
Justeru, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk bertindak lebih tegas dalam menguatkuasakan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.
“Kesalahan utama adalah tiada sebarang tanda harga yang boleh dilihat pada gerai menjual makanan dan minuman, diikuti restoran sama ada tidak mengemas kini harga atau memberikan maklumat mengelirukan kepada pengguna.
“Ketiadaan tanda harga yang telus sering menyebabkan pengguna dikenakan bayaran berlebihan kerana mereka tidak mempunyai senarai harga yang didokumenkan untuk dirujuk apabila berlaku pertikaian berkaitan bil mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama beliau berkata, kenaikan harga diesel baru-baru ini juga dilihat berpotensi menyumbang kepada kos makanan yang lebih tinggi.
Justeru katanya, adalah penting untuk pengguna dimaklumkan mengenai harga lebih awal.
”Peruntukan bawah Akta Kawalan Harga menjelaskan tanggungjawab penjual untuk memastikan pembeli dimaklumkan mengenai harga, bagaimanapun penguatkuasaan yang tidak mencukupi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan undang-undang di bawah peruntukan itu.
“Selain itu, CAP juga menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat dan pendakwaan terhadap semua pesalah demi menjaga hak pengguna serta memastikan amalan perdagangan yang adil,” katanya lagi.
BACA JUGA Tarikh siap projek Aerotrain KLIA berubah, MAHB umum berita baik