Tarikh siap projek Aerotrain KLIA berubah, MAHB umum berita baik

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan bahawa Projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadual siap lebih awal berbanding tarikh asal.

MAHB memaklumkan, projek berkenaan dijangka siap menjelang 31 Januari 2025 iaitu dua bulan lebih awal daripada tarikh asal 31 Mac 2025.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, garis masa yang dipercepatkan itu dimuktamadkan melalui kontrak yang ditandatangani pada 14 Jun lalu.

Kontrak tersebut adalah antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat milik penuhnya, dan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (ALSTOM) serta usaha sama terdiri daripada IJM Construction Sdn Bhd dan PESTECH Technology Sdn Bhd (IJMC-PESTECH JV).

“Sebagai pihak utama penyelarasan projek, Alstom akan memantau penghantaran tiga tren baharu, menaik taraf dua laluan dan pengujian komprehensif secara menyeluruh yang diperlukan bagi keselamatan operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MAHB berkata, berdasarkan garis masa projek, tren aero baharu itu dijangka tiba di Malaysia dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

“Aerotrain itu kemudiannya akan melalui proses pengoperasian dan pentauliahan serta ujian ketat oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum dapat beroperasi secara rasmi,” katanya lagi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom berkata, pihaknya menghargai kesabaran penumpang KLIA sepanjang kerja naik taraf kemudahan lapangan terbang itu.

“Penyiapan awal projek ini lebih awal daripada tarikh asal yang dirancang, adalah bukti komitmen tanpa henti kami untuk meningkatkan pengalaman penumpang.

“Kemajuan ini bukan sahaja menangani keperluan operasi segera tetapi juga mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan terkemuka di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia kepada penumpang kami,” ujar beliau.

BACA JUGA Harga telur turun: Peniaga roti canai gembira dapat jimat hampir RM300 sebulan