Harga telur turun: Peniaga roti canai gembira dapat jimat hampir RM300 sebulan

Susulan penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak 3 sen sebiji yang diumumkan Perdana Menteri, ia mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun segelintir pihak menyindir pengumuman tersebut yang dianggap tidak memberi kesan besar kepada kos sara hidup, namun lain pula bagi para peniaga yang membeli bahan mentah itu dalam kuantiti banyak.

Seorang peniaga roti canai di Kuala Terengganu, Siti Aisyah Yusof, 36, berkata penurunan diumumkan kerajaan semalam membolehkan dia berjimat sekurang-kurangnya RM10 setiap hari bagi pembelian lima hingga enam papan telur.

“Saya akan beli lima atau enam papan telur untuk kegunaan perniagaan, jadi perlu peruntuk antara RM50 hingga RM70 sehari.

“Apabila kerajaan umum penurunan tiga sen sebiji, saya dapat jimat sekurang-kurangnya RM10 setiap hari.

“Kita pun tahu harga bahan mentah lain seperti bawang, tepung dan minyak masak semakin mahal, jadi apabila ada pengurangan pada harga telur, ia mengurangkan kos operasi sekurang-kurangnya antara RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Suri rumah, Masirah Abd Aziz, 52, pula berkata harga baharu telur dianggap munasabah dan berharap tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorok bekalan.

“Walaupun penurunan hanya tiga sen sebiji, ia tetap membantu pengguna memandangkan telur adalah antara bahan yang digunakan hampir setiap hari.

“Saya rasa lega sangat kerana sebelum ini berfikir dulu sebelum membeli telur sehingga ada masanya kena buat perbandingan dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari harga paling rendah,” katanya lagi seperti dilapor.

BACA JUGA Tak pernah jumpa anak murid macam ini, bekas guru agama teruja Anwar ‘mai’ melawat

Â