Tak pernah jumpa anak murid macam ini, bekas guru agama teruja Anwar ‘mai’ melawat

Siapa sangka kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir menziarah bekas guru agamanya di Bukit Mertajam hari ini membuka lebih banyak sisi baharu Perdana Menteri itu yang tidak diketahui ramai.

Salmah Abu Bakar, 84, berkata, Ahli Parlimen Tambun itu sudah mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin sejak usianya baru darjah 4.

Beliau yang mengajar di Madrasah Al-Ittihadiah Al-Wataniah Cherok Tok Kun semasa Anwar berumur 10 hingga 12 tahun berkata, perkara itu terlintas di hatinya ketika melihat sendiri bagaimana Anwar berinteraksi dengan rakan-rakannya.

“Anwar memang menunjukkan potensi yang besar sebagai pemimpin seawal usia 10 tahun.

“Melihat perwatakan dan cara beliau berinteraksi dengan rakan-rakan (pada masa itu), memang terlintas di hati saya bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin apabila besar nanti.

“Beliau baik dan sentiasa menghormati orang lain. Saya mahu beri semangat kepadanya agar sentiasa berpegang kepada sifat-sifat ALLAH dan jangan putus asa,” katanya kepada pemberita selepas Anwar menziarahinya di kediaman ustazah itu di Cherok Tok Kun hari ini.

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di rumah Salmah pada jam 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih kurang 20 minit, selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah.

Halimah ketika ditemui pemberita selepas kepulangan Anwar, menzahirkan kesyukuran dan terharu kerana dapat bertemu anak didiknya selepas puluhan tahun tidak bersua.

“Sebelum ini saya hanya berpeluang berbual dengannya melalui telefon.”Selama 31 tahun mengajar, belum pernah saya jumpa anak murid macam Anwar. Saya pernah kata pada dia, satu hari nanti dia akan jadi pemimpin.

“Saya rasa sebak, terkejut dan tidak percaya pun ada bila dia telefon kata nak mai (datang) melawat,” kongsinya lagi.

BACA JUGA Calon PN Sungai Bakap, orang ke kilang? Ramai ketawa tak henti dengan pengumuman Tuan Ibrahim

Â