Laksana rangkaian 5G kedua? Ini reaksi kerajaan
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menyatakan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan dasar model dwi rangkaian 5G (dual network).
Beliau berkata, syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat dalam pelaksanaan model dwi rangkaian itu, akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada 21 Jun ini.
“Sejurus selepas itu, proses mengenal pasti telco yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua akan bermula.
“Proses ini hanya akan dibuka kepada syarikat-syarikat telco yang telah melengkapkan pegangan ekuiti (SSA) di dalam DNB,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau.
Terdahulu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menerima kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong di pejabatnya di Putrajaya.
Menurut Fahmi, dalam pertemuan lebih 40 minit itu, banyak perkara telah dibincangkan berhubung isu telekomunikasi termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua.
“Pelaksanaan rangkaian 5G kedua bersifat komersial, tetapi kerajaan melalui Kementerian Komunikasi telah memutuskan dasar dwi rangkaian untuk memacu persaingan dan memastikan kemapanan (sustainability) ekosistem telekomunikasi dalam negara kita.
“Selain itu, perbincangan kami turut memberi fokus kepada usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua kementerian,” katanya lagi.
Dalam pertemuan sama, Fahmi memaklumkan beliau turut menyentuh teknologi ‘direct-to-cell’ melibatkan satelit orbit rendah Bumi (LEO) yang mungkin dapat membantu mengatasi masalah internet di kawasan terpencil, serta kawasan yang tiada sambungan internet.
BACA JUGA Tular foto tembok rumah Ketua Polis Segamat disimbah cat, ini respon polis