Tular foto tembok rumah Ketua Polis Segamat disimbah cat, ini respon polis
Hari ini tular sekeping foto di media sosial memaparkan tembok kediaman rasmi Ketua Polis Daerah Segamat disimbah cat sehingga mencetus pelbagai andaian.
Turut tular adalah sekeping nota meminta kedai dadah di daerah itu dihapuskan.
Sementara itu mengulas kejadian tersebut, polis memaklumkan bahawa kejadian tersebut adalah foto lama yang tular semula.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu berlaku pada Februari tahun ini dan suspek berusia 31 tahun sudah pun ditangkap di Taman Perling, 5 Februari lalu.
“Turut dirampas satu tin cat dan barang-barang lain yang digunakan semasa kejadian.
“Suspek mempunyai dua rekod lampau kes khianat dan satu kes samun.
“Saringan air kencing mendapatinya negatif dadah. Suspek sudah dituduh di mahkamah majistret pada 6 Februari lalu dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas gagal membayar denda RM2,500,” katanya.
Hasil siasatan mendapati, suspek mendakwa melakukan perbuatan tersebut kerana sering terdengar bisikan ghaib.
“Suspek mendakwa terdengar bisikan ghaib disyaki halunisasi menyatakan suspek terlibat kes dadah dan menjadi buruan polis.
“Akibat daripada itu suspek menyasarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sebagai tanda protes,” ujar beliau.
Zamry berkata, disebabkan kehadiran polis di pos pengawal, suspek mengubah sasaran dengan melakukannya di rumah Ketua Polis Daerah Segamat.
BACA JUGA Harga telur turun: Peniaga roti canai gembira dapat jimat hampir RM300 sebulan
Â