Pengusaha dedah bekalan telur masih stabil, tiada kekurangan

Bekalan telur ayam di pasaran masih stabil dan tidak berlaku sebarang kekurangan selepas kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit makanan itu semalam.

Menurut FMT, perkara tersebut dikongsikan oleh seorang pengusaha telur ayam di Selangor dikenali sebagai Brian Lim.

Brian berkata, bekalan telur kemungkinan terjejas sekiranya berlaku lonjakan permintaan .

Ini kerana katanya, adalah sukar untuk pengusaha mengeluarkan bekalan (telur) tambahan dalam tempoh yang singkat.

”Kami mengambil masa bagi memenuhi permintaan yang tinggi. Tidak boleh tambah (bekalan) dalam masa singkat.

“Terpulang kepada permintaan telur. Kalau permintaan tinggi, kemungkinan terjejas.

“Macam bekalan telur di tempat saya masih baik lagi dan ianya dapat memenuhi permintaan pelanggan terutama pelanggan tetap kami,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan tiga sen sebiji, selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, kini harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa semalam.

Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini membabitkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada 2023, peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

Harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan

BACA JUGA Laksana rangkaian 5G kedua? Ini reaksi kerajaan