Keluarga lelaki serang Balai Polis Ulu Tiram dituduh hari ini
Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor yang mengorbankan dua anggota polis pada 17 Mei lalu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru.
Kelima-lima mereka itu hadir pada jam 9 pagi ini dengan dikawal ketat hampir 30 anggota polis.
Mereka difahamkan akan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, sekitar Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru dilihat turut dikawal ketat puluhan anggota polis sejak jam 7 pagi tadi.
Dalam serangan pada 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.
Seorang lagi anggota polis berpangkat koperal, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dirawat di Hospital Sultan Ismail, manakala suspek ditembak mati di tempat kejadian.
Susulan itu, tujuh individu direman bagi membantu siasatan serangan itu. Mereka terdiri daripada lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun serta dua pelajar institusi pengajian tinggi yang hadir di balai polis sejurus sebelum kejadian.
Bagaimanapun, dua pelajar IPT itu dibebaskan tanpa syarat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata siasatan awal mendedahkan keluarga itu membawa fahaman radikal.
BACA JUGA Formula kerajaan menjadi, pengusaha bas Singapura kantoi selama ini ‘sebat’ subsidi Malaysia