Muhyiddin anggap pengosongan kerusi DUN Nenggiri ikut undang-undang

Perikatan Nasional (PN) menyatakan kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dibuat secara teratur dan mengikut kehendak undang-undang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, keputusan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Ammar Nik Abdullah selaras Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya terhenti keahlian partinya secara serta-merta.

“Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang anti-lompat parti (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kekosongan luar jangka diumumkan Speaker DUN Kelantan menunjukkan pindaan perlembagaan BERSATU mengenai anti-lompat parti dan notis terhenti keahlian parti secara serta merta yang dikeluarkan kepada wakil-wakil rakyat yang berkenaan adalah teratur dan mengikut kehendak undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Reaksi Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu susulan pengumuman Mohd Amar pada sidang media di pejabatnya mengenai pengosongan kerusi DUN Nenggiri berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, yang memaklumkan hilang keahlian BERSATU dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Mohd Ammar berkata, kekosongan berlaku susulan notis dihantar Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian ADUN Nenggiri dari Bersatu secara serta-merta kerana melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

Muhyiddin berkata, partinya bersama-sama parti anggota PN bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang diadakan pada tarikh akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“InsyaAllah, dengan izin Allah dan dokongan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” katanya lagi.

BACA JUGA Sindiket seludup syabu dan ketamin tumpas, jumlah rampasan mengejutkan

Â