Pengosongan kerusi DUN Nenggiri, ini reaksi SPR
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom memaklumkan, pihaknya masih belum menerima surat rasmi berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada Speaker DUN Kelantan.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat selepas menerima surat rasmi daripada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah iaitu Speaker DUN Kelantan.
“Apabila SPR menerima surat berkenaan, kami akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggeri,” katanya berdasarkan laporan BH.
Terdahulu, Mohd Amar pada sidang media di pejabatnya mengumumkan bahawa kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuatkuasa hari ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu, yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
“Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi.
“Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan,” katanya.
Mohd Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lima lagi ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu.
Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
BACA JUGA Muhyiddin anggap pengosongan kerusi DUN Nenggiri ikut undang-undang