Penyeludup diesel di Selatan Thailand resah, dah tak dapat untung macam dulu

Penyeludup diesel mengakui sukar mendapatkan diesel seludup dari Malaysia selepas kerajaan melaksanakan langkah pengapungan bahan api tersebut.

Jika dahulu mereka mengambil untung sekitar RM1.05 hingga RM1.30 seliter dengan menjual diesel bersubsidi pada harga RM3.20 seliter, kini mereka semakin sukar berbuat demikian.

Perkara tersebut diakui sendiri seorang peniaga di Selatan Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Cu, menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini kerajaan menetapkan subsidi diesel pada harga RM2.15 seliter. Selepas penyasaran bahan api itu dilakukan, harga terkini di pasaran adalah RM3.35 seliter.

“Langkah kerajaan Malaysia menyasarkan subsidi diesel menyebabkan harga bahan api di negara itu meningkat daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

“Jika sebelum ini, kami menjual diesel Malaysia antara RM3.20 hingga RM3.45 seliter, tetapi kini kami terpaksa menaikkan sedikit harganya.

“Kami menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan diesel daripada pembekal utama (penyeludup) di wilayah selatan,” kata peniaga diesel yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Cu

Lelaki berusia 70 tahun itu yang mengusahakan gerai di Narathiwat berkata, dia dan peniaga Thailand lain kini menjual diesel Malaysia antara RM4 hingga RM4.20 seliter kepada pemandu Thailand. 

Harga diesel semasa di Thailand adalah RM4.26 seliter.

Lelaki itu juga percaya peningkatan rondaan sempadan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia terhadap penyeludupan diesel juga menjadi punca kekurangan bekalan.

Pemandu kenderaan Thailand membeli diesel Malaysia berikutan harga yang lebih murah berbanding dijual di negara mereka.

BACA JUGA Formula kerajaan menjadi, pengusaha bas Singapura kantoi selama ini ‘sebat’ subsidi Malaysia

Â