Bekas calon PH Sungai Bakap komited sokong Dr Joohari

Meskipun tidak bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kali ini, namun bekas calon Pakatan Harapan (PH) DUN berkenaan, Nurhidayah Che Rose tetap muncul untuk bertemu sekali gus menyokong calon Perpaduan.

Dalam satu catatan di Facebooknya, beliau secara berseloroh memanggil calon Perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin sebagai ‘pengantin N20’ yang merujuk kepada DUN Sungai Bakap.

”Malam ini (malam semalam) kami dapat jumpa pengantin N20.

”Telah selesai pertemuan calon N20 Sungai Bakap bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang di Bilik Gerakan Utama.

”Insya-Allah Wanita Keadilan Pulau Pinang akan mencurahkan bakti dan kekuatan kami demi perpaduan di Sungai Bakap,” tulis beliau di laman sosialnya itu.

Nurhidayah Che Rose

Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang itu turut berpesan kepada masyarakat agar mengundi Dr Joohari pada PRK kali ini sekali gus memenangkan Perpaduan di DUN berkenaan.

Sikap terbuka Nurhidayah ketika kunjungan tersebut turut mendapat pujian daripada warga maya.

Azzin Izzad Bahanudin menyifatkan Exco Wanita Pusat itu sebagai seseorang yang berjiwa besar.

”Tahniah Ketua Wanita Penang yang berjiwa besar.. Sungai Bakap kita menang!”

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada Pas meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Dalam saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang lalu, Nurhidayah meraih 13,870 undi berbanding Nor Zamri dengan 15,433 undi, menjadikan majoriti sebanyak 1,563 undi.

Pada 31 Mei lepas, Nurhidayah dilapor bersedia menebus kekalahannya ketika PRN lalu dalam PRK kali ini jika diberikan mandat.

Katanya sekiranya mandat diberikan, beliau mahu merampas semula kerusi DUN berkenaan, namun perkara belum diputuskan lagi.

Bagaimanapun, pada 12 Jun lalu, PH dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan Dr Joohari iaitu bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara sebagai calon Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian adalah pada 6 Julai depan.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

BACA JUGA Pening, ahli Bersatu, bertanding tiket Pas, bila dipecat hilang kerusi

Â