Bersatu hantar notis kosong kerusi 6 Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat
Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam ahli parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, selaku Ketua Whip parti, semua notis pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Jeli; Gua Musang; Bukit Gantang; Kuala Kangsar; Tanjong Karang dan Labuan telah ditandatangani beliau.
”Semalam satu precedent kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri juga telah diumumkan Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang merupakan keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
”Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.
”Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Ronald berkata pengesahan kekosongan luar jangka itu hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.
Secara prinsip katanya, beliau yakin Tan Sri Johari mahu memastikan badan legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.
”Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen daripada Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA JUGA Sedia letak calon terbaik, UMNO Kelantan tekad rampas semula Nenggiri