Sedia letak calon terbaik, UMNO Kelantan tekad rampas semula Nenggiri

UMNO Kelantan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan bersedia meletakkan calon yang terbaik bagi merampas semula kerusi berkenaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman, berkata pihaknya juga sudah bersiap sedia untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan pengumuman pengosongan kerusi DUN itu semalam.

“Jika berlaku PRK susulan pengumuman kekosongan kerusi DUN Nenggiri semalam, kita memang sudah bersiap sedia untuk berdepan situasi berkenaan.

“Apa yang pasti kita akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dan selebihnya terserah kepada rakyat yang menilai,” katanya, dipetik BH.

Semalam, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.

Pengumuman Mohd Amar itu sekaligus dilihat ujian pertama Akta Lompat Parti apabila Azizi dalam reaksinya memberitahu akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

BACA JUGA Selepas dikecam ‘backup’ ustaz selebriti, Nabil mohon maaf