“Kelantan macam mana?”, ADUN Pas disindir sibuk bina telaga di Uganda

Seorang wakil rakyat Pas menjadi sasaran kritikan selepas memuat naik gambar sebuah telaga yang berjaya dibina di Uganda hasil sumbangan Pas Relief dan NGO Warga Cakna.

Menerusi hantaran di X ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim, beliau memuat naik video pembinaan telaga yang berjaya disiapkan untuk kegunaan kanak-kanak di Uganda.

Dalam kapsyen video itu, beliau menulis bahawa ‘air adalah kehidupan’, selain memaklumkan telaga tiub sumbangan Pas Relief telah memberikan sinar berharga buat penduduk di negara itu.

“Di sebuah kampung pendalaman Uganda, di sini mereka tiada bekalan air bersih. 

“Siapnya sebuah telaga tiub sumbangan Pas Relief dan NGO Warga Cakna memberikan sinar berharga buat penduduk muslim di sini.

“Mari anak-anak, Pok Cik Man basuh muka,” ciapnya.

Dalam video yang dimuat naik, Dr Azman sempat menggunakan air dari perigi yang disumbangkan untuk mencuci muka kanak-kanak Uganda yang berdiri di sekelilingnya.

Bagaimanapun sosial media miliknya dihujani komen pedas dari rakyat Malaysia yang meminta agar ahli politik itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyatnya sendiri di Kelantan.

“Di Uganda mereka bina telaga tiub hasil sumbangan Pas, sedang di Kelantan rakyatnya bina telaga tiub menggunakan duit sendiri,” komen @riekadier

“Sibuk negara orang. Negeri parti sendiri kau seksa puluh tahun tak ambil kisah pula. Sampai kesudah gali telaga,” kata @zachkry

Pada masa sama segelintir pihak mengumpamakan situasi tersebut saling tidak tumpah dengan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Seorang penduduk di Kelantan juga berkongsi video di ruangan komen, mengeluh dengan air yang keruh.

“Jauh Pas Relief pergi. Kampung ambo dok hadap air kuning jah ni. Tak cakna ko negeri sendiri? Tapi tak apo lah. Mujur air ada deh. Mari pok cik man, ambo nak basuh muka pokcik dengam air ni,” komen @alfaizhilmi sambil menunjukkan air di rumahnya yang karat.

Pas Relief dan NGO Warga Cakna menganjurkan lawatan ke Uganda pada 16 hingga 19 Jun lalu untuk mengadakan beberapa program di negara itu, termasuk program Qurban dan program bina perigi.

Antara yang terlibat dalam lawatan itu ialah ADUN Jabi, Dr Azman.

BACA JUGA Calon PN cakap tak serupa bikin, dulu gelak besar sekarang dia pula ‘sorok’ kelayakan akademik