Tak semestinya keputusan DUN Kelantan perlu diikuti Speaker Dewan Rakyat – Timbalan Speaker
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor berpendapat, hanya Speaker sahaja yang boleh memutuskan sama ada berlaku pengosongan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu atau tidak.
Berdasarkan pandangan peribadinya sendiri, beliau berkata tidak semestinya tindakan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengumumkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri perlu diikuti.
Tambahan pula jika perkara tersebut dibawa ke mahkamah, kata putus sebenar berkaitan pengosongan kerusi itu hanya boleh ditentukan oleh mahkamah.
“Ini pandangan peribadi saya ya, bukan pandangan Parlimen Malaysia.
“Apa-apa sekali pun yang diputuskan, kosong atau tidak, yang berkuasa memutuskannya adalah Speaker dewan yang berkenaan. (Kalau) di Kelantan, Speaker DUN yang berkaitan.
“Tak semestinya (harus ikut), kerana kata putusnya masih di peringkat mahkamah yang akan menentukan sama ada perkara ini dibawa ke mahkamah atau tidak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, berkata demikian sewaktu ditanya sama ada Speaker Dewan Rakyat perlu mengikuti langkah Speaker DUN Kelantan.
Ramli turut ditanya sama ada krisis Perlembagaan akan timbul jika langkah serupa tidak diambil oleh Speaker Dewan Rakyat sebagaimana dakwaan segelintir pihak.
Pada masa sama Ramli berkata, berpandukan perlembagaan dan undang-undang sedia ada, Speaker yang akan memutuskan sama ada kerusi itu kosong atau tidak.
“Dan apa yang kita sudah tahu, sekarang surat itu dari pihak PPBM sudah sampai kepada kita.
“Speaker (akan memutuskan) sama ada itu berlaku atau tidak (pengosongan kerusi). Kalau sudah berlaku ia diputuskan oleh speaker nanti,” ujarnya lagi.
Speaker DUN Kelantan mengumumkan kekosongan kerusi DUN Neggiri susulan DUN pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis daripada seorang ADUN Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang.
Mohd Azizi dalam responnya berkata beliau akan membawa kes itu ke mahkamah serta mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan.
BACA JUGA Bersatu hantar notis kosong kerusi 6 Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat