Umum kerusi kosong: Speaker DUN Kelantan dah langgar prosedur – Pemuda AMANAH

Tindakan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengumumkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri secara tiba-tiba, melanggar prosedur undang-undang yang sepatutnya dipatuhi.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Ammar Atan berkata, pengisytiharan sepihak dibuat oleh Mohd Amar tanpa melalui mesyuarat DUN adalah tindakan yang melanggar prosedur sah.

Menurutnya, Speaker bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan perlembagaan negeri, tetapi turut mengetepikan peraturan dalam Akta Anti Lompat Parti.

“Pengosongan kerusi perlu mengikut prosedur yang ketat seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri, dan akta anti lompat parti.

“Pengisytiharan sepihak yang dibuat oleh Speaker tanpa melalui mesyuarat DUN adalah tindakan yang melanggar prosedur yang sah,” katanya dalam satu video penjelasan dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Tambah Ammar, bekas menteri besar Kelantan itu juga tidak memberi peluang kepada wakil rakyat Bersatu membela diri mereka, sekaligus menafikan hak mereka untuk mempertahankan diri.

“Kedua, setiap wakil rakyat yang dituduh kononnya melanggar anti lompat parti ini berhak untuk membela diri mereka.

“Mereka perlu diberi peluang untuk memberikan penjelasan dan mengemukakan bukti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam konteks kes ini, hak wakil rakyat tersebut telah dinafikan dan tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membawa risiko ketidakstabilan di Kelantan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan keputusan DUN Kelantan adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Beliau juga menyarankan agar rundingan adil dilakukan untuk memastikan keadilan ditegakkan sementara kepercayaan rakyat dipulihkan.

BACA JUGA Tak semestinya keputusan DUN Kelantan perlu diikuti Speaker Dewan Rakyat – Timbalan Speaker