Banyak baiknya pelaksanaan subsidi diesel bersasar, akhirnya rakyat raih manfaat

Pemuda AMANAH Nasional berpendapat pengurangan subsidi diesel muncul sebagai langkah penting ke hadapan ketika negara menuju ke arah pembangunan mampan.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Perdagangan, Dr Ng Rui Wei berkata, kerajaan boleh memperuntukkan semula dana negara ke arah inisiatif yang menyokong pertumbuhan dan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Selain itu, katanya, peralihan daripada subsidi diesel boleh memberi insentif kepada penggunaan teknologi yang lebih bersih dan tenaga boleh diperbaharui.

“Bahan api yang bersubsidi menggalakkan kadar penggunaan yang lebih tinggi, menyumbang kepada peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

“Kerajaan Malaysia mempunyai komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada 9 Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.

Amir berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Dr Ng Rui Wei berkata, pelaksanaan subsidi bersasar memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang memerlukan serta membolehkan agihan sumber awam yang lebih saksama.

Beliau berkata, subsidi diesel secara pukal sebelum ini selalunya gagal sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

“Subsidi (pukal) biasanya memberi manfaat kepada segmen masyarakat yang lebih berkemampuan yang menggunakan lebih banyak bahan api, dan bukannya isi rumah berpendapatan rendah yang mungkin tidak memiliki kenderaan atau mendapat manfaat secara langsung daripada pengurangan kos bahan api,” ujarnya.

Walau bagaimapun, beliau berpendapat peralihan kepada subsidi bersasar mesti diuruskan dengan berhati-hati bagi mengurangkan potensi kesan negatif ke atas kumpulan dan industri yang sangat bergantung kepada diesel.

“Pemberian wang tunai harus dilaksanakan secara cekap dan memastikan mereka yang layak tidak terkecuali supaya mengurangkan kesan segera kepada pengguna.

“Tambahan pula, komunikasi yang berkesan adalah penting untuk mendapatkan sokongan orang ramai dan mengurangkan tentangan terhadap cara pengurusan subsidi yang baru ini.

“Ketelusan dalam penggubalan dasar dan penjelasan yang jelas tentang faedah yang lebih luas dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial mampu memupuk persefahaman dan penerimaan dalam kalangan penduduk Malaysia,” jelasnya lagi.

BACA JUGA Tertinggi dalam tempoh 20 bulan, nilai perdagangan Malaysia cecah RM246.31 bilion