Tertinggi dalam tempoh 20 bulan, nilai perdagangan Malaysia cecah RM246.31 bilion
Tertinggi dalam tempoh 20 bulan, perdagangan Malaysia pada Mei 2024 mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun sebanyak 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion.
Nilai tertinggi perdagangan Malaysia yang kukuh ini direkodkan sejak Oktober 2022 dan menjadi pertumbuhan tahunan yang kelima bulan berturut-turut.
Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, berkembang 7.3 peratus kepada RM128.22 billion.
Sementara itu, import naik 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion yang menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Turut menyumbang minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta barangan besi dan keluli.
Menurut MITI, eksport barangan E&E mengekalkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut.
Jelasnya, tanda-tanda pemulihan ekonomi di pasaran eksport utama negara dapat dilihat apabila eksport ke rakan dagang utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan peningkatan.
“Eksport ke ASEAN dan AS mencatatkan kenaikan ketara dengan pertumbuhan dua angka. Begitu juga, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM87.64 bilion.
“Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Mexico dan Kanada, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E,” katanya.
Tambah MITI, perdagangan, eksport dan import pada tempoh lima bulan pertama 2024 mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh terbabit.
Katanya, perdagangan meningkat 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, eksport naik 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dan import bertambah 13.7 peratus kepada RM553.24 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM52.01 bilion telah dicatatkan pada tempoh ini.
“Sementara itu, berbanding April 2024, prestasi perdagangan pada Mei 2024 dilihat kukuh dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 11.1 peratus, 11.8 peratus, 10.4 peratus dan 30.9 peratus,” katanya.
Bank Dunia dalam Laporan Prospek Ekonomi Global Jun 2024, mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global meningkat 2.6 peratus pada 2024 berikutan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan di AS.
Ia juga menganggarkan pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat 4.3 peratus pada 2024.
Sektor pembuatan Malaysia dilihat bersedia untuk tumbuh secara positif pada 2024, disokong oleh reformasi industri yang diterajui oleh MITI serta peningkatan dalam unjuran permintaan semikonduktor global yang memberangsangkan.
Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) baru-baru ini menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam pasaran semikonduktor global sebanyak 16 peratus pada 2024 berikutan prestasi lebih kukuh dalam penggunaan pengkomputeran.
Malaysia muncul sebagai pengeksport global ke-10 terbesar bagi barangan E&E dan pengeksport keenam terbesar bagi semikonduktor pada 2023.
BACA JUGA Zambry dilantik Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap, Ahmad Maslan jadi Ketua War Room
Â