Bayar RM150,000 kepada bekas menantu, Chef Wan anggap duit itu ibarat setitik di lautan

Chef Wan memberitahu beliau reda dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya.

Ia berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap Gavin Edward O’Luanaigh di platform media sosial apabila panel hakim membenarkan rayuan bekas suami Serina itu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Malam tadi saya dimaklumkan oleh peguam saya mengenai berita terbaru ini, selepas rayuan dibuat oleh pihak lawan, selepas beliau tewas di Mahkamah Tinggi tahun lalu.

“Kami telah berjuang selama lebih tiga tahun, jika tidak silap saya, dengan membawa semua saksi.

“Akhirnya, saya memenangi kes tersebut dan dianugerahkan RM25,000,” ujarnya menerusi Instagram hari ini.

Mengulas lanjut, Chef Wan berkata, wang ganti rugi yang diterima itu, bersama tambahan RM60,000 daripada duitnya sendiri, telah didermakan sepenuhnya kepada Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia kerana dia tidak memerlukan wang itu.

Pada awal tahun ini, katanya, dia dimaklumkan mengenai rayuan yang dibuat oleh bekas menantunya itu, yang membawa keputusan memihak kepada O’Luanaigh.

“Walaupun saya berusaha membuktikan kebenaran, peguam saya mengatakan cara saya menyerang dia di media sosial adalah salah.

“Jadi, bukanlah cerita saya yang tidak betul. Oleh kerana itu, saya terima keputusan mahkamah itu,” kata Datuk Redzuawan Ismail lagi.

Dalam masa sama, chef selebriti itu memberitahu letih menghadapi drama keluarga yang berpanjangan, sambil menambah, keputusan mahkamah ini bagaimanapun membolehkan beliau dan keluarganya bergerak ke hadapan.

Beliau turut menekankan bahawa wang tersebut tidak begitu penting baginya dan beliau lebih mengutamakan ketenangan dan kebahagiaan keluarganya.

“Yang baiknya, kami akhirnya berjaya menghilangkan dia dari kehidupan kami dan anak perempuan saya kini lebih bahagia. Alhamdulillah.

“Duit itu pada saya ibarat setitik di lautan dan esok ada rezeki kita kerja dapatlah balik,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Kerajaan MADANI terus diyakini, tiga bulan pertama pelaburan RM83.7 bilion dah diluluskan

Â