Kerajaan MADANI terus diyakini, tiga bulan pertama pelaburan RM83.7 bilion dah diluluskan

Kerajaan MADANI terus diyakini apabila menyaksikan pelaburan sebanyak RM83.7 bilion diluluskan dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, naik 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pencapaian suku pertama 2024 itu turut menyaksikan sejumlah 29,027 pekerjaan baharu diwujudkan daripada 1,257 projek.

Menurutnya, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan 23.8 peratus dalam pelaburan asing dan lonjakan 1.6 peratus dalam pelaburan domestik bersama-sama dengan kenaikan 14.6 peratus dalam bilangan peluang pekerjaan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pelabur semakin yakin dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan. Daripada RM83.7 bilion pelaburan yang diluluskan, pelaburan asing menyumbang 56 peratus (RM47.0 bilion), manakala baki 44 peratus (RM36.7 bilion) datang daripada pelaburan domestic,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan The Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution oleh Bursa Malaysia di ibu negara, pagi ini.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa sektor pembuatan mencatatkan yang pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih separuh (51.3 peratus) pada RM43 bilion.

Ini diikuti oleh sektor perkhidmatan (47 peratus atau RM39.3 bilion) dan sektor primer dengan menyumbang 1.7 peratus atau RM1.4 bilion.

BACA JUGA Banyak baiknya pelaksanaan subsidi diesel bersasar, akhirnya rakyat raih manfaat