Selepas puluhan ribu tan bom digugur di Gaza, Israel masih terus sergah Rumah Putih

Walaupun Amerika Syarikat (AS) sudah meluluskan ratusan urus niaga melibatkan ribuan bom dan peluru kepada Israel bagi membunuh rakyat Palestin, Benjamin Netanyahu masih tidak puas hati dengan Rumah Putih.

Sikap Netanyahu, pembunuh nombor satu dunia itu dilapor mengecewakan Rumah Putih apabila dituduh ‘menahan senjata dan peluru’ ke Israel sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kenyataan itu amat mengecewakan dan pastinya mengecewakan kami memandangkan jumlah sokongan yang kami berikan.

“Tiada negara lain yang melakukan lebih banyak untuk membantu Israel mempertahankan diri daripada ancaman Hamas dan ancaman lain dihadapi mereka di rantau ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby, lapor AFP.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan ‘mereka benar-benar tidak tahu apa yang Netanyahu bicarakan’.

Dia turut merujuk kepada penghantaran bom berjumlah 2,000 paun (900 kg) yang menurut Washington sedang dalam semakan kerana kebimbangan penggunaannya di kawasan padat penduduk seperti Rafah.

Namun, Netanyahu dalam reaksinya berkata, dia ‘bersedia untuk diserang secara peribadi dengan syarat Israel menerima peluru daripada AS yang diperlukan dalam perang’.

Sejak meletusnya kempen genosid di Gaza, sudah beberapa kali ketua kerajaan Israel dan pentadbiran Biden bertengkar.

Biden pernah menyatakan bantahan terhadap operasi besar-besaran Israel di Rafah di selatan Gaza dengan mengancam untuk menghentikan penghantaran senjata tertentu jika amarannya tidak diendahkan.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut memberi amaran kepada Israel terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan.

AS bimbang risiko merebaknya perang serantau yang lebih meluas apabila Hizbullah menembak puluhan roket ke utara Israel.

Dalam pertemuan dengan pegawai atasan Israel di Washington, Blinken berkata, Jabatan Negara ‘menekankan kepentingan untuk mengelakkan ketegangan di Lubnan dan mencapai resolusi diplomatik yang membolehkan keluarga Israel dan Lubnan pulang ke rumah mereka.”

Kempen genosid yang melibatkan serangan udara dan darat Israel telah meragut lebih 37,400 nyawa di wilayah Palestin yang diperintah Hamas.

Ribuan lagi mangsa keganasan Israel hilang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang dimusnahkan.

Walau bagaimanapun, Israel terus angkuh dengan secara terang-terangan melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila tidak menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin termasuk di Tebing Barat yang bukan dikuasai Hamas.

Serangan berterusan rejim Zionis menyaksikan lebih 70,000 tan bom di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Angka itu jauh mengatasi jumlah yang digugurkan di Dresden, Hamburg dan London semasa Perang Dunia Kedua.

BACA JUGA Banyak baiknya pelaksanaan subsidi diesel bersasar, akhirnya rakyat raih manfaat

Â