Status enam kerusi Parlimen Bersatu, apa kata PM Anwar?

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal kedudukan enam kerusi Parlimen yang disandang wakil rakyat Bersatu perlu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyerahkan kepada Tan Sri Johari Abdul untuk membuat keputusan berhubung usul dikemuka Bersatu yang meminta supaya pengosongan dibuat ke atas enam kerusi terbabit.

“Soal enam kerusi Bersatu itu, perlu dirujuk kepada speaker Dewan Rakyat.

“Biar Speaker putuskan,” katanya ringkas kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, Bersatu mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar dikosongkan.

Kesemua wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

BACA JUGA Kerajaan MADANI terus diyakini, tiga bulan pertama pelaburan RM83.7 bilion dah diluluskan