Zambry dilantik Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap, Ahmad Maslan jadi Ketua War Room
UMNO telah menamakan Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Sementara itu, Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir dilantik sebagai Pengarah Operasi manakala Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Ketua War Room PRK.
Menerusi satu kenyataan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MT UMNO, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, malam tadi.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti komponen Kerajaan MADANI itu akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan dalam PRK N.20 yang diadakan pada 6 Julai depan.
Pada 12 Jun lalu, Cikgu Joohari atau nama sebenarnya Joohari Ariffin diumum sebagai calon Kerajaan Perpaduan, yang akan bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap.
Bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara itu bakal berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.
BACA JUGA Umum kerusi kosong: Speaker DUN Kelantan dah langgar prosedur – Pemuda AMANAH
Â