Apa dibualkan Maszlee, Mat Sabu semasa berarak di PRK Sungai Bakap?

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkongsikan isu yang dibualkan dengan Presiden AMANAH, merangkap Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa berarak sempen penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Beliau memberitahu mereka berbicara tentang surat atau amanat Pemimpin Tertinggi Iran (Rahabar), Ayatollah Ali Khamenei kepada penuntut universiti di Amerika Syarikat (AS) yang berdemonstrasi menentang genosid Israel ke atas bumi Gaza dan penduduk Palestin.

“Kita hairan tiada seorang pun ulama dari negara-negara Islam yang lain yang mampu menghasilkan surat seumpamanya.

“Malah, tiada suara pun dari para ulama Sunni menyokong para siswa Amerika dan Eropah yang memperjuangkan nasib rakyat Gaza dan Palestin,” tulisnya di Facebook beliau.

Maszlee yang juga Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) berpendapat situasi itu ada kaitan dengan nilai dalam pendidikan Islam konvensional sunni.

“Apa yang kami sepakati, kurangnya penerapan nilai-nilai falsafah, manusiawi dan sosio-spiritual dalam pendidikan Islam konvensional sunni.

“Islam lebih disikapi sebagai dogma teologi (aqidah), ibadat dan hukum halal haram semata-mata dalam pendidikan tradisional Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Maszlee berpendapat pendidikan falsafah dan sivik perlu disulami dalam pendidikan, propaganda dan indoktrinasi agama di negara-negara Islam agar umat Islam dapat menghayati Islam yang syumul dan universal.

BACA JUGA Banyak baiknya pelaksanaan subsidi diesel bersasar, akhirnya rakyat raih manfaat