Perarakan penamaan calon Perpaduan di PRK Sungai Bakap meriah
Kira-kira 1,000 penyokong Kerajaan Perpaduan menyertai perarakan penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pagi ini.
Mereka mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin dan tiba di Dewan Serbaguna Jawi, jam 8.47 pagi tadi.
Perarakan bermula dari Pejabat UMNO Nibong Tebal sejauh kira-kira 100 meter (m).
Laungan slogan perpaduan dan reformasi turut kedengaran sebelum Joohari dibawa masuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyerahkan borang pencalonan.
Turut mengiringi Joohari adalah Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sungai Bakap adalah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.
Seramai 39,279 pemilih layak mengundi dalam PRK DUN Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
BACA JUGA Bayar RM150,000 kepada bekas menantu, Chef Wan anggap duit itu ibarat setitik di lautan