PRK Sungai Bakap bermula hari ini, penamaan calon jadi tumpuan
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bermula hari ini dengan proses penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi ini.
Setiap bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.
Calon-calon bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen sehingga pukul 11.59 malam, 5 Julai.
Sungai Bakap adalah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.
Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan menamakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon menerusi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bekas eksekutif logistik, Abidin Ismail, 56, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal mewakili kem pembangkang itu.
Seramai 39,279 pemilih layak mengundi dalam PRK DUN Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
BACA JUGA Biadab gelar PM sebagai rakan subahat zionis Israel