PRK Sungai Bakap: Jentera BN perlu bertemu seramai mungkin pengundi

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mahu jentera parti bertemu seramai mungkin pengundi bagi membantu calon parti gabungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menurutnya, jentera parti khususnya UMNO dilihat telah bersedia dan bersemangat untuk bertemu pengundi bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin.

“Saya telah berjumpa jentera parti dan menerangkan gerak kerja perlu dilakukan.

“Kalau boleh jentera parti mengeluarkan (memastikan keluar mengundi) lebih 5,000 daripada 13,000 pengundi Melayu di situ…ia sudah memadai.

“Usaha ini juga satu latihan bagi BN khususnya UMNO untuk mengukur sejauh mana ahli kita sudah sejuk hati kepada parti.

“Ini penting juga kerana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon kita (sokong) di Sungai Bakap ini kalah.

“Dulu kawasan itu (pernah jadi) kubu kuat BN,” katanya, dipetik Bernama.

Mohamad berkata Joohari daripada parti PKR merupakan seorang doktor falsafah dan sebagai anak jati di kawasan itu, calon itu sangat dihormati oleh penduduk setempat.

“Saya lihat pagi tadi, reaksi orang ramai baik, tetapi kita tidak tahu dalam pilihan raya macam-macam boleh berlaku.

“Kadang-kadang pengundi dipengaruhi oleh isu. Jadi, saya berjumpa dengan jentera BN menerangkan gerak kerja yang patut mereka lakukan,” katanya.

Joohari, 60, akan berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56, yang dicanang memiliki sijil ISO 14001 Bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar.

Seramai 39,279 pemilih DUN Sungai Bakap layak membuang undi pada 6 Julai depan membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

BACA JUGA Sanusi anggap kelulusan akademik bukan kayu pengukur, ini reaksi Fahmi